27 November 2011

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1433H

Permatachalok mengucapkan Selamat menyambut Maal Hijrah 1433H kepada seluruh warga SKC. Sesungguhnya menyambut ulang tahun Hijratur Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan.

Sambutan Hijratur Rasul adalah sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah.

Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA.

Hikmah mengapa Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada, menurut para pengkaji sejarah ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w.

Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara terbuka di mana pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah s.a.w. ke Madinah.Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara.

Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w.

Marilah kita bertekad untuk sama-sama menghayati pengertian sebenar maksud sambutan maal hijrah yang sering kita adakan pada setiap tahun .