27 November 2011

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1433H

Permatachalok mengucapkan Selamat menyambut Maal Hijrah 1433H kepada seluruh warga SKC. Sesungguhnya menyambut ulang tahun Hijratur Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan.

Sambutan Hijratur Rasul adalah sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah.

Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA.

Hikmah mengapa Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada, menurut para pengkaji sejarah ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w.

Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara terbuka di mana pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah s.a.w. ke Madinah.Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara.

Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w.

Marilah kita bertekad untuk sama-sama menghayati pengertian sebenar maksud sambutan maal hijrah yang sering kita adakan pada setiap tahun .

14 November 2011

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN MURID SK CHALOK 2011


Ucapan Guru Besar SK Chalok ( Puan Noraini Bt. Mohd Noor)


Alhamdulillah,bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan izinNya kita dapat bersama-sama mengadakan “ Hari Anugerah Kecemerlangan Murid 2011 “

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam keputusan peperiksaanakhir tahun. Ini adalah hasil usaha , ketekunan, azam, tekad dan hasrat yang seharusnya dikongsi bersama guru-guru dan seluruh ahli keluarga. Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, kita tidak akan mencapai kecemerlangan diri dalam bidang pelajaran.


Kepada pelajar yang belum mencapai tahap kecemerlangan, jadikan cuti penggal persekolahan ini masa untuk terus mengejar kejayaan. Kepada ibu bapa pula, berikan galakan kepada anak-anak supaya m,engulangkaji pelajaran pada masa cuti. Mereka harus dilatih secara berterusan untuk terus belajar sehingga menjadi orang yang berilmu dan berakhlak mulia.

Jutaan terima kasih kepada semua guru dan ibu bapa pelajar yang telah bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan majlis ini.


Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dihulurkan kepada PPD, PIBG, guru dan ibu bapa yang sentiasa prihatin dan menyokong penuh apa yang dilakukan oleh pihak sekolah.



Sekian, terima kasih



13 November 2011

Polemik Kerja 9 Jam...

Beberapa pihak menganggap projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran sebagai tidak wajar dan mahu ia dikaji semula kerana akan membebankan guru.

"Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama sembilan jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja (dengan) pembelajaran dan pengajaran.Malahan guru sudah menjadi ‘multi purpose’ kerana semua perkara guru terpaksa lakukan.

“Guru juga pemandu ambulan jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah," kata pihak berkenaan dalam satu kenyataan media.

Kenyataan itu merujuk kepada saranan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong, semalam yang berkata mulai Januari tahun depan, empat negeri - Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak - akan bekerja sembilan jam sehari.

Projek rintis itu katanya, berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenal pasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.

"Saya harap semua guru di empat negeri tersebut tidak perlu risau kerana kita hanya membuat percubaan.

"Apabila projek rintis itu meyakinkan kita dan kita dapat membuat kesimpulan secara konkrit, barulah kita memperluaskannya ke semua sekolah di seluruh negara," kata Wee.

Sambil membidas tindakan Kementerian Pelajaran yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri pelajaran, beberapa pihak berkata kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk menyenangkan guru-guru supaya mereka berada di zon selesa.

Ini kerana di tangan para gurulah yang akan melahirkan modal insan yang berguna untuk masa akan datang.


"Mungkin ada orang cemburu kerana guru banyak mendapat cuti berbanding dengan mereka yang berada di pejabat.

“Tetapi perlu diingat tugas guru bukan sahaja di sekolah, malahan kerja mereka berterusan sehingga balik ke rumah. Kerana kerja latihan pelajar perlu diperiksa, persiapan mengajar perlu dibuat dan budaya ini berlainan dengan mereka yang bekerja di pejabat, selesai sahaja waktu pejabat ia tidak perlu dibawa balik ke rumah" kata kenyataan itu lagi.

" Sehubungan itu , sepatutnya kerajaan perlu menambah lagi kemudahan dan membina lebih banyak sekolah supaya bilangan pelajar di dalam sebuah kelas dapat dikurangkan agar bebanan guru juga dapat diringankan.

Kebanyakan sekolah pada hari ini dibina lebih 20 tahun dahulu dan sudah tidak mampu menampung pertambahan penduduk di sekitarnya sehingga suasana di dalam bilik kelas tidak lagi selesa kerana bilangan pelajar yang begitu ramai.

Malah, sebagai penghormatan kepada guru-guru yang mendidik rakyat di negara ini, ada parti politik yang sanggup menjanjikan RM500 kepada mereka jika diberi mandat memerintah negara ini " tegas kenyataan tersebut.

05 November 2011

PPSMI: Mahathir tak wajar masuk campur

TEMERLOH, 5 Nov: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang seolah-olah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya menghalang timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dianggap cuba masuk campur.

Kenyataan bekas Perdana Menteri yang dianggap masih berpengaruh dalam Umno dan kerajaan itu, hanya akan mengusutkan lagi keadaan.

“Dr Mahathir sudah berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun dan dasar perubahan dalam pendidikan PPSMI diperkenalkan oleh pentadbirannya. Maka setelah dibuat kajian, ratusan ribu pelajar Melayu didapati menjadi mangsa iaitu tercicir dalam pelajaran teras tersebut.

“Jadi apabila Menteri Pelajaran membuat keputusan untuk menghapuskan PPSMI dan kembali kepada bahasa ibunda, beliau (Dr Mahathir) tidak sepatutnya dilihat cuba mempengaruhi keputusan yang telah dibuat menteri betanggungjawab itu," Kata seorang pemerhati selepas mendengar kenyataan Mahathir di Langkawi kelmarin bahawa Perdana Menteri masih boleh menghalang Muhyiddin memansuhkan PPSMI.

Beliau dipercayai memberi respons kepada Muhyiddin yang berkata keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI muktamad walaupun cuba didesak oleh beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page).

Tan Sri Muhyiddin juga menolak sebarang perbincangan lagi memandangkan kerajaan sudah pun memutuskan bagi memansuhkan dasar itu pada tahun 2009 dan ia berbetulan dengan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

"Pelajar Melayu luar bandar sudah lama tertinggal walaupun terpaksa menunggu sistem tersebut kembali kepada Bahasa Melayu. Mereka tidak wajar terus menjadi mangsa kepada eskperimen yang sudah jelas menjejaskan pencapaian mereka seperti yang telah terbukti diakui oleh Menteri Pelajaran.

“Setelah beberapa tahun PPSMI diperkenalkan oleh Dr Mahathir, didapati ratusan ribu generasi pelajar menanggung kerugian kerana gagal menguasai mata pelajaran yang penting untuk berjaya melanjutkan pelajaran kepada yang tahap lebih tinggi. Pada masa yang sama tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Justeru sudah jelas PPSMI hanya membawa kerugian kepada bangsa Melayu. Oleh yang demikian beberapa pertubuhan NGO dan parti politik menentang sebarang cubaan menghidupkan semula PPSMI, termasuk cubaan Dr Mahathir untuk mempengaruhi PM Najib,” jelas kenyataan itu lagi.